User Rating: / 4
PoorBest 

Kurang Berat Badan: Cacing atau Metabolisma Tinggi?

Sunday, 12 December 2010 22:55 Dr Peng 0 Comments Artikel Cyberclinics - Bidang Perubatan (Medikal)
E-mail Print PDF
Share

 

 

Soalan:

1st skali adalah mengucapkan tahniah kerana wujudnya website ni.
ok.sekarang ade beberapa soalan.

1. macam mana nak tahu dalam perut kita terdapat banyak cacing atau tidak? dan macam mana nak mengeluarkannya? sebab mengapa saya bertanya adalah saya seorang yang kurus tetapi kuat makan.kawan - kawan yang beriya mengatakan perut banyak cacing dan bukannya dicebabkan faktor metabolisma tinggi.

Khadijah

Jawapan:

Assalamu'alaikum, selamat sejahtera dan terima kasih kerana sudi bertanya di sini.

Cacing di dalam perut atau penyakit lain.

Terlampau banyak punca kepada berat badan yang rendah selain daripada jangkitan cacing atau parasit (parasitic infection) dan metabolisma yang tinggi seperti penyakit sistem pernafasan (asma, emfisima dll), penyakit sistem kardiovaskular atau jantung dan salur darah (terutamanya pada bayi dan kanak-kanak seperti jantung berlubang, jantung berlubang dengan dengan komplikasi sianosis (cyanosis) atau kebiruan kerana kekurangan oksigen dll),  penyakit endokrinalogi atau kelenjar (hyperthyroidism atau hormon thyroid yang tinggi dll), penyakit pada perut, usus dan sistem penghadaman (ketidakboleh cernaan, radang pancreas, ketagihan alkohol dll), kekurangan makanan & zat-zat penting ( kwashiorkor, marasmus dll), penyakit mental (aneroxia nervosa, bulemia dll) atau seperti saudara nyatakan, jangkitan kuman atau parasit, kanser dan sebagainya.

 

 

Badan kita mempunyai keseimbangan tenaga di mana tenaga ini kita dapati daripada makanan yang dihadam bersama dengan oksigen dalam pernafasan kita dan digunakan untuk tujuan tertentu seperti kadar metabolik asas (BMR) dan aktiviti-aktiviti seharian. Kehilangan atau kekurangan berat badan walaupun pengambilan makanan, pernafasan, sistem jantung dan salur darah dan sebagainya adalah normal, adalah disebabkan oleh gangguan pada keseimbangan ini. Oleh itu, saya menasihati saudari supaya tidak terlampau percaya dengan rakan-rakan saudari dan resah dan tidak juga terlalu mengabaikan kesihatan saudari. Mungkin saudari boleh mengenal pasti, adakah saudari mempunyai masalah kesihatan yang lain seperti asma dan sebagainya. Justeru, saya berpendapat adalah lebih baik dan sukacita untuk saya membesarkan skop persoalan saudari dengan menyatakan punca-punca di atas, bukan hanya tertumpu kepada cacing-cacing di perut.

Secara umumnya, parasit adalah organisma yang asalnya duduk di luar badan tetapi menumpang di dalam badan manusia dan sebahagian daripadanya menyebabkan penyakit dan simptom-simptom seperti kekurangan berat badan. Bakteria pula adalah organisma yang kecil manakala virus pula lebih kecil.

Merujuk kepada soalan saudari, untuk mengetahui dan mengesahkan kehadiran cacing, mana-mana pegawai & pakar perubatan yang terlibat sekurang-kurangnya haruslah mempunyai ilmu asas parasitology, satu cabang dalam ilmu perubatan yang berkaitan dengan parasit dan ia tidak mudah untuk kami dan sukar untuk diterangkan dengan terperinci kepada saudari. Namun demikian, jika terdapat keraguan tentang kesihatan diri seperti kekurangan & kehilangan berat walaupun pengambilan makanan adalah normal, saudari dan pesakit-pesakit yang lain dinasihatkan untuk berjumpa dengan mana-mana doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Contoh-contoh parasit yang hidup di dalam perut adalah seperti Ascariasis, Threadworm, Whipworm, Hookworm, Strongyloidiasis dan lain-lain lagi.

Saya ingin membesarkan skop soalan pertama saudari kerana bukan hanya jangkitan cacing di dalam perut sahaja yang akan menyebabkan kekurangan berat badan, cacing, bakteria dan virus di dalam darah dan lain-lain juga boleh menyebabkan kekurangan berat badan dan saya akan menjawab soalan saudara bagaimana untuk merawat cacing di dalam perut.

Penyakit Berjangkit (Infectious Disease): Diagnosis & Rawatan

Untuk tujuan diagnosis bagi jangkitan parasit atau jangkitan bakteria & virus dengan lebih terperinci, doktor akan mengambil sejarah pesakit (history taking), melakukan pemeriksaan klinikal (clinical examination) dan ujian-ujian secara umum dan khusus seperti; ujian darah, ujian pengambaran (imaging seperti x-ray, CT, MRI, PET dll), biopsi, aspirasi (aspiration), tekapan radio berwarna (radionuclide scanning), ujian mikroskopik dan kultur seperti pemeriksaan mikroskopik untul sampel darah, air kencing, najis, air tulang belakang dan sampel-sampel khusus seperti kudis, kurap, ruam dan sebagainya. Semua ini bertujuan untuk mencari tisu yang tidak normal dan berubah dalam badan, mengesan kehadiran organisma jangkitan, kandungan cecair badan yang tidak normal dan berubah atau secara umumnya ingin mengesan & mengesahkan tanda-tanda jangkitan.

Selain itu, diagosis imun (immunodiagnosis) juga dilakukan bagi memeriksa tindak balas sistem pertahanan badan terhadap jangkitan tersebut. Doktor juga akan mengesan kehadiran asid nukleus organisma jangkitan (nucleic acid detection) dan kedua-dua cara yang terakhir ini mempunyai peratus ketepatan yang tinggi.

Tanda-Tanda dan Rawatan Bagi Jangkitan Parasit

Kembali kepada soalan saudara, antara tanda-tanda atau kriteria bagi jangkitan cacing atau secara umumnya parasit dalam badan adalah seperti; ruam atau tompok pada kulit (macular/maculopapular rash - denggi atau lain-lain), urticarial atau gatal-gatal pada kulit (strongyloide, schistosoma, cutaneous larva migrans, toxocaria dll), pertambahan sel darah putih jenis eosinophil (hypereosinophilia), peningkatan protein C reaktif dan Erythrocyte Sedimentation Rate (ESR), pewarna Giemsa positif (malaria), pendarahan dalam perut, dubur dan tekak (throat), kesukaran bernafas (dyspnea), pembesaran organ hati, kehadiran parasit atau telur parasit atau larvanya di dalam sampel air kencing, najis, kahak dan sebagainya dan pelbagai lagi tanda-tanda yang lain termasuklah penurunan berat badan.

Bagi tujuan rawatan dan pencegahan jangkitan parasit, secara umumnya terdapat dua cara; ubat-ubatan (conservative) dan pembedahan dan cara rawatan bergantung kepada jenis dan tahap jangkitan. Ubat-ubatan untuk tujuan pencegahan adalah seperti chloroquine, pyrimethamine–sulfadoxine (Fansidar), mefloquine, quinine bagi parasit Malaria, Ivermectin, polynesian bagi filariasis, di mana kes jangkitan kedua-dua parasit ini adalah kerap di negara kita berbanding dengan negara lain . Manakala untuk tujuan rawatan adalah seperti Albendazole, Praziquantel, DEC, Ivermectin, Triclabendazole, Amphotericin B, Metronidazole, Eflornothine, Pentamidin, Nefurtimox, Doxycycline dan sebagainya khusus untuk jenis jangkitan.

Namun demikian, seperti yang saya maklumkan di atas, kekurangan berat badan bukan hanya berpunca daripada jangkitan parasit, ia juga berpunca daripada jangkitan bakteria, virus & punca-punca seperti yang di atas. Justeru, doktor yang memeriksa saudari haruslah teliti dan peka terhadapat sebarang kebarangkalian. Mungkin saudari mempunyai hormon thyroid berlebihan, mungkin juga saudari bermetabolisma tinggi secara semula jadi dan pelbagai lagi kemungkinan yang lain.

Saya tidak dapat menerangkan dengan terperinci, parasit yang manakah, atau apakah punca sebenar penurunan berat badan saudari kerana khidmat kami hanyalah nasihat secara online dan maklumat saudari agak terhad. Untuk tujuan yang lebih lanjut, saudari bolehlah berjumpa dengan mana-mana doktor dan membuat pemeriksaan lanjut.

Saya memohon maaf, fakta-fakta di atas agak terperinci dan sukar untuk difahami oleh orang awam, tetapi itulah jawapan saya kepada soalan pertama saudari dan saya telah mencuba meringkas dan memudahkannya semampu yang boleh.

Disebabkan sudah terlalu panjang, bagi soalan-soalan saudari yang lain, dengan izin Tuhan, inshaAllah, saya akan cuba jawab dalam artikel yang lain. Akhir kata, semoga membantu saudari dan terima kasih kerana sudi bertanyakan kami.

Dr Peng

Rujukan:

1. Kumar & Clark Clinical Medicine

2. http://www.merckmanuals.com/home/sec17/ch196/ch196a.html

3. Tropical Medicine Text Book Faculty of Medicine, Alexandria University, Egypt.

4. Professor Magdi, Tropical Medicine Department, Alexandria University, Egypt.




Another articles:

Powered By relatedArticle

Add comment

Sila tinggalkan sebarang komen membina, terima kasih. Comment from unregistered user will be moderated.


Security code
Refresh